Ponteng puasa. Situasi ini bukan sahaja dilakukan oleh kanak-kanak, malahan orang dewasa juga turut rasa tidak bersalah melakukan perbuatan memalukan ini. Apa yang menyedihkan lagi ialah golongan orang tua antara paling ramai yang dikenal pasti tidak berpuasa.
Kejadian ponteng puasa ni bukan asing lagi ketika bulan puasa. Pesalah seperti tiada persaan berdosa melakukan perbuatan ini dikhalayak ramai. Malahan ada di kalangan mereka berasa bangga apabila orang lain melihat mereka tidak berpuasa.
Selain itu, ada dalam kalangan umat Islam memilih restoran bukan Islam untuk berkumpul dan menikmati makanan tanpa rasa segan dan tidak mengendahkan kesucian makanan yang dijamah. Di mana letaknya kesucian agama Islam sehinggakan umat Islam sendiri melanggar hukum Allah SWT.
Allah minta kita puasa pada Ramadan ini untuk ibadat dan kesihatan diri sendiri. Dan selama 11 bulan Allah bagi peluang untuk kita makan sepuas-puasnya tidak kira waktu tetapi kenapa kita sanggup melakukan perbuatan terkutuk seperti ini.
Mengapa senario ini boleh berlaku sedangkan di zaman serba canggih dan moden ini orang kita sepatutnya semakin berilmu dengan maklumat yang diterima dari media-media elektronik yang sering memperkatakan soal kewajipan berpuasa.
Malulah pada agama lain dan malulah pada kanak-kanak yang sanggup berpuasa. Sebagai umat Islam, kita sangat dilarang melakukan perbuatan seperti ini melainkan sekiranyan sakit atau uzur. Sekiranya ada masalah, janganlah makan di khalayak ramai.
Alasan seperti tidak bersahur dan penat merupakan alasan kuno dan tidak logik. Jika kita bandingkan dengan zaman Nabi SAW, para sahabat berpuasa sambil berperang. Jadi, alasan yang tidak munasabah seperti ini hanya rekaan.
Jika kita benar cinta dan sayangkan Islam, kita sanggup bertahan dan menjaga kesucian agama kita. Bulan Ramadan ini merupakan bulan untuk kita mengumpul pahala kerana setiap amal kebajikan kita, Allah akan gandakan pahalanya. Rebutlah peluang di bulan ini kerana kita tidak tahu sama ada Ramadan akan datang masih ada lagi untuk kita atau sebaliknya.
Leave a Reply