Hai semua. Entri kali ni aku nak cerita sedikit berkaitan bahan ilmiah. Aku rasa terpanggil menulis tajuk entri ini memandangkan banyak kesilapan yang kerap dilakukan semasa aku mengajar suatu masa dahulu.
Kesilapan tatabahasa ini bukan sahaja dalam kalangan murid-murid, malahan melibatkan golongan dewasa. Bagi aku, bidang tatabahasa adalah salah satu bidang yang paling rumit dalam bahasa Melayu. Jadi, jika kita tak belajar untuk mengubahnya, pasti akan melarat kesilapan tersebut.
Untuk entri ini, aku cuba kupas penggunaan Kata Sendi Nama ‘dari’ dan ‘daripada’. Penggunaan kata sendi ini banyak membuatkan kita keliru waktu bila perlu guna ‘dari’ atau pun ‘daripada’. Mungkin kita sudah biasa melakukan kesilapan ini dan secara tidak langsung kita menganggap ianya betul.
Keliru itu berlaku apabila kita membuat penulisan dan perbualan harian kita. Oleh itu, aku akan cuba memberikan sedikit info mengenai perbezaan dua perkataan ‘dari’ dan ‘daripada’
KATA SENDI ‘DARI’
Secara mudahnya,kata sendi nama ‘dari’ kita gunakan untuk menyatakan tempat,masa dan arah. Formula yang biasa aku gunakan semasa mengajar dahulu ialah “ATM”.
A = Arah
T = Tempat
M = Masa
CONTOH AYAT KATA SENDI ‘DARI’
1) Kereta yang datang dari lorong sempit itu terbabas kerana mengelak pokok yang tumbang secara tiba-tiba. (ARAH)
2) Mak saya berasal dari Kepala Batas, Kedah. (TEMPAT)
3) Emak menunggu ayah pulang dari petang sehingga membawa ke malam. (MASA)
KATA SENDI ‘DARIPADA’
Kata sendi nama ’daripada’ pula digunakan untuk menyatakan MANUSIA(orang), PERBANDINGAN dan ASAL KEJADIAN.
a) Menyatakan punca bagi manusia, institusi, haiwan, benda dan unsur mujarad. Contoh:
1) Siti menerima senaskhah buku daripada rakan karibnya.
2) Zaid dapat menyelesaikan masalah itu hasil daripada ketabahannya menghadapi dugaan.
b) Menyatakan maksud sumber atau asal kejadian sesuatu benda.
1) Kain yang dipakai oleh Cik Nina diperbuat daripada sutera.
2) Badrul menerima berita kemenangannya dalam pertandingan melukis daripada berita yang disiarkan melalui televisyen.
c) Menyatakan sebahagian daripada semua.
1) Enam orang daripada mereka menerima keputusan cemerlang dalam UPSR.
2) Sebahagian daripada pelajar mengalami cirit-birit selepas makan di kantin.
d) Menyatakan perubahan , perbezaan atau perbandingan contoh :
1) Adik lebih tinggi daripada abang
2) Pendapatan yang dikemukakan jauh lebih matang daripada usianya yang sebenar.
Semoga sedikit perkongsian aku ini memberi manfaat buat semua.
Jumpa lagi !!
Leave a Reply