Pengalaman ditahan dan dimasukkan ke dalam lokap polis semasa aku tingkatan 4 merupakan satu yang tak dapat dilupakan. Peristiwa ini berlaku akibat pergaduhan. Biasalah darah muda masa tu. Hal kecik pun boleh buat gaduh.
Jalan ceritanya bermula begini. Sekolah menengah aku dulu merupakan sekolah baharu di sekitar Bukit Jalil. Disebabkan sekolah ini baharu, aku dan kawan-kawan rapat aku sebulat suara ingin berpindah ke sini. Aku memujuk ibu bapa aku untuk berpindah ke sekolah baharu ini. Macam-macam alasan aku bagi. Antara yang paling kukuh ialah dekat dengan rumah. Senang kalau nak pergi dan balik sekolah.
Disebabkan sekolah baharu, maka jumlah pelajar tidak berapa ramai. Seingat aku hanya lebih kurang 100 orang murid sahaja ketika itu. Dan dalam banyak-banyak pelajar itu terdiri daripada pelbagai kaum tetapi majoritinya Melayu dan Cina.
Dalam keseronokan masuk ke sekolah baharu ini, tanpa aku sedar rupanya ramai pelajar yang masuk ke sekolah ini mempunyai masalah disiplin seperti ponteng, gaduh, dan mencuri. Apabila mereka dibuang sekolah, maka sekolah baharu inilah menjadi persinggahan mereka.
Jadi,tidak hairanlah masalah disiplin di sekolah baharu ini boleh dikatakan agak sederhana dan kadang-kadang teruk. Pengetua aku ketika itu sorang perempuan. Beliau sering kali pening kepala apabila melihat masalah disiplin di sekolah ini.
Nak dipendekkan cerita. Pada suatu hari, aku ingat lagi ketika itu hari Jumaat. Berlaku sedikit perselisihan faham antara pelajar ketika rehat. Hal ini semakin tegang apabila salah seorang senior kami ketika itu menunjuk hero dengan membelasah seorang pelajar. Keadaan semakin kecoh apabila geng pelajar yang dibelasah ini turut serta.
Ketika ini, aku merupakan seorang pengawas. Jadi, aku tidak memihak mana-mana pihak. Tugas aku sebagai pengawas membantu guru. Aku cuba meleraikan pergaduhan antara dua kumpulan ini. Malangnya, dalam kesibukan aku meleraikan pergaduhan ini, aku turut dipukul. Rasa macam nak pitam ketika itu.
Pengetua aku membuat tindakan drastik dengan menghubungi terus pihak polis. Walaupun boleh diselesaikan secara dalaman, namun pihak sekolah telah banyak kali memberi peluang kepada pelajar-pelajar ini. maka jalan terakhirya ialah membuat laporan polis.
Seramai 20 orang pelajar ketika itu ditahan dan dibawa menaiki kereta dan lori polis. Aku dengan tidak semena-mena turut ditahan. Sampai di balai polis, anggota bertugas menyoal kami semua. kami dibahagikan kepada dua kumpulan. Dan setiap orang perlu memberi keterangan.
Aku ditahan bukan disebabkan masalah pergaduhan ini tetapi sebagai saksi. Tapi yang buat aku benggang, aku dilayan seperti orang yang bersalah. Kebetulan ketika itu aku sudah mempunyai misai dan janggut. Habis semua dicari salah. Aku hanya tunduk dan mengaku salah.
Kami kemudian dimasukkan ke dalam lokap. Sebenarnya, anggota polis sengaja ingin menakut-nakutkan kami. Terfikir aku bagaimana keadaan orang yang bersalah jika dimasukkan ke dalam penjara sorang-sorang. Aku yang baru sejam dalam lokap pun boleh rasa bosan inikan mereka yang bertahun-tahun dipenjarakan.
Kes ini selesai sehingga malam. Ibu bapa kami dipanggil untuk ikat jamin. Kami iberi peringatan terakhir oleh pihak polis agar tidak mengulangi kesalahn ini lagi. Jika tidak tindakan lebih tegas akan diambil. Jadi apa yang aku belajar dari kejadian ini ialah berkata benarlah walaupun pahit untuk kau lafazkan. Kenapaaku katakan begitu? Sebenarnya orang yang menumbuk aku itu ialah sahabat aku sendiri. Dia tidak sengaja menumbuk aku disebabkan kekalutan semasa pergaduhan itu.
Al-Fatihah buat sahabat aku ini yang telah dijemput Ilahi akibat kemalangan jalan raya. Semoga kau tenang di sana dan di tempatkan dlaam kalangan orang yang beriman Mohd Helmi@Rangga.
Leave a Reply