Peristiwa Nuzul Quran merupakan peristiwa turunnya ayat al-Qur’an yang pertama kepada Nabi Muhammad SAW. Peristiwa ini terjadi pada 17 Ramadan iaitu pada hari Jumaat tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira’.
Al-Quran diturunkan dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia sekali gus ( 30 juzuk ). Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur mengikut suasana dan keperluan kepada Nabi Muhammad SAW.
Pada hari Nuzul Quran kita sangat disarankan untuk memperbanyakan membaca Al-Quran yang merupakan salah satu mukjizat Nabi Junjungan SAW. Membaca AL-Quran merupakan ibadah yang diberi ganjaran oleh Allah s.w.t. sebagaimana dinyatakan oleh nabi iaitu :
“Barangsiapa yang membaca satu huruf dari Al-Quran maka baginya satu kebaikan. Satu kebaikan itu diganjarkan dengan sepuluh. Aku tidak mengatakan bahawa Alif Lam Mim itu satu huruf tetapi Alif itu satu huruf, lam itu satu huruh dan mim itu satu huruf”
Ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad melalui perantaraan Malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq. Surah ini dinamai Al ‘Alaq bermaksud (segumpal darah), diambil dari perkataan Alaq yang terdapat pada ayat 2 surat ini. Surat ini dinamai juga dengan Iqra atau Al Qalam.
Tujuan Al-Quran diturunkan ialah untuk memberi petunjuk dan panduan kepada manusia untuk diikuti dan diamalkan agar sejahtera dunia adan akhirat. Namun demikian, waaupun kita mengetahui kelebihan Al-Quran, masih ada lagi yang tidak ingin membacanya dan yang paling sedih Al-Quran dijadikan perhiasan di dalam almari.
Sebagai Muslim, Al-Quran merupakan senjata kita yang perlu kita jaga dan agungkan. Jangan sekadar membaca tanpa mengamalkannya. Di dalam Al-Quran terdapat bermacam-macam kisah dan bukti kekuasaan Allah Taala yang boleh kita ambil ikhtibar dan belajar.
Oleh itu, jadikanlah Al-quran sebagai pedoman. Apapun perkara yang hendak dilakukan atau diputuskan, kita hendaklah merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah supaya kita tidak akan sesat di dunia dan diakhirat.
Leave a Reply