Keluarga merupakan orang paling hampir dan rapat dengan kita. Tanpa mereka, kita akan terasa sunyi. Dengan adanya keluarga, kehidupan kita akan lebih tenteram di samping dapat memastikan mereka bahagia bersama kita.
Menghabiskan masa bersama keluarga adalah sangat penting. Tetapi ramai antara kita melupakan hakikat ini, kerana kita terlalu sibuk dengan tugas, kerjaya, kehidupan peribadi dan sebagainya.
Selalunya, kita memberi terlalu banyak tumpuan kepada perkara-perkara yang besar berbanding perkara-perkara kecil yang lebih penting dalam hidup kita. Sebelum anda sedari, ia mungkin terlalu lewat untuk melakukan apa-apa mengenainya. Ingat, masa berlalu sangat pantas.
Anda mungkin merasakan bahawa anda boleh menangguhkan masa untuk bersama si manja ke satu hari lain tetapi tanpa anda sedari anak anda sudah membesar. Pada waktu ini, anda mesti akan merindui zaman mereka masih kecil. Dan anda tertanya-tanya apa yang berlaku kepada si comel yang pada suatu ketika begitu manja.
LUANGKAN MASA BERKUALITI
Sangat penting bagi kita untuk meluangkan masa yang berkualiti bersama-sama keluarga terutama anak-anak. Menghabiskan masa yang berkualiti bersama keluarga bermakna berkomunikasi dengan anak anda dengan cara yang berfaedah dan menyeronokkannya. Menonton TV dalam senyap dan sepi tidak boleh dianggap sebagai masa yang berkualiti. Yang penting ialah bermesra sambil menonton TV.
Biasanya anak-anak kecil ini sangat suka bermain. Ibu bapa yang prihatin pasti akan meluangkan masa untuk bermain bersama mereka. Lebih banyak masa yang anda habiskan bersama anak-anak, lebih akrab dan mesralah hubungan antara anggota keluarga anda. Ini akan mengurangkan ketegangan dalam rumah tangga dan juga pertelingkahan antara satu sama lain.
Selain itu, antara cadangan lain yang anda boleh lakukan untuk memastikan masa terluang bersama keluarga adalah dengan makan bersama. Di bulan puasa ini sangat sesuai anda untuk makan bersama iaitu pada waktu sahur dan waktu berbuka. Jadikan rutin makan bersama setiap hari sekurang-kurangnya waktu makan malam sebagai peraturan yang wajib buat seisi keluarga.
Di samping itu, anda juga boleh meraikan majlis tertentu seperti hari jadi. Pasti akan lebih bermakna dan mereka akan rasa sangat dihargai kerana anda mengingati hari istimewa mereka.
Ibu bapa juga boleh meluangkan masa untuk membaca bersama anak-anak. Anak pasti akan terpaku dan duduk diam jika ibu bapa membacakan mereka buku cerita dalam gaya yang menarik. Selain dapat menanamkan minat membaca, mereka pasti sentiasa mengingati saat ibu dan ayah membacakan buku cerita sebagai waktu terindah pada zaman kanak-kanak.
Oleh itu, sebagai ibu bapa berilah sepenuh kasih sayang buat anak-anak dan keluarga. Sesibuk mana pun anda rancanglah masa anda supaya keluarga anda menjadi harmoni dan hidup aman. Sebagai ibu bapa juga, berusaha untuk mengetahui apa yang berlaku dalam hidup anak anda. Jangan biarkan mereka menghabiskan masa dengan gadjet atau melepak sahaja. Anak ibarat kain putih, ibu bapa yang mencoraknya.
Leave a Reply