Bersukan merupakan suatu aktiviti yang sangat digalakkan untuk memastikan tubuh badan kita cergas di samping menjadikan otak cerdas. Ramai antara kita yang memandang remeh aktiviti bersukan ini walaupun mengetahui kebaikannya.
Banyak aktiviti bersukan yang boleh korang lakukan sama ada di luar mahupun di dalam rumah. Aktiviti luar rumah seperti berjoging, bermain bola sepak, badminton, sepak takraw dan banyak lagi boleh korang lakukan. Jika malas nak keluar rumah, korang juga boleh lakukan aktiviti di dalam rumah seperti senamrobik, push up, berlari menggunakan treadmill dan mengayuh basikal statik.
Dalam keseronokkan korang bersukan, perlu diingat badan korang perlu bersedia dengan baik. Dalam erti kata lain perlu warming up atau memanaskan badan. Aktiviti memanaskan badan sangat penting untuk mengelakkan badan cedera.
Memanaskan badan bertujuan menyediakan badan secara fizikal dan mental sebelum melakukan aktiviti bersukan. Memanaskan badan merangkumi aktiviti kardiovaskular dan senaman ringan seperti gerakan aerobik yang mudah.
KENAPA PENTING WARMING UP ?
1) Elak cedera
Badan yang tidak bersedia untuk bersukan akan terkejut disebabkan korang melakukan sukan secara tiba-tiba. Jika badan tak mampu bertahan, kecederaan seperti harmstring boleh berlaku. Badan seperti kenderaan di mana perlu dipanaskan sebelum bergerak.
2) Menyesuaikan Dengan Kadar Denyutan Jantung
Memanaskan badan merupakan satu cara untuk menyampaikan mesej ke jantung korang bahawa korang akan melakukan aktiviti yang memerlukan kapasiti tinggi. Tujuannya untuk memastikan badan bersedia secara berperingkat agat tidak mengalami kejutan dengan tekanan yang datang secara tiba-tiba. Dalam situasi normal, jantung korang akan berdenyut pada kadar rehat namun jantung akan berdenyut dengan lebih laju dan pantas ketika melakukan aktiviti bersukan.
3) Meningkatkan Prestasi
Orang yang memanaskan badan lebih aktif dan berprestasi tinggi di dalam sukan berbanding individu yang tidak memanaskan badan. Ini kerana jika korang melakukan aktiviti memanaskan badan, darah akan mengalir lebih lancar ke dalam otot dan menyebabkan pembahagian nutrien yang diperlukan ke otot untuk menghasilkan tenaga berlaku dengan lebih pantas.
4) Mengurangkan Kesakitan Selepas Bersukan
Situasi ini biasa dialami untuk orang yang bersukan sekali dalam setahun atau jarang-jarang. Tubuh badan akan berasa sakit-sakit dan lenguh selepas bersukan. Aktiviti sukan yang berlebihan akan menyebabkan kesakitan pada otot apabila bangun keesokan harinya. Itu merupakan kesan daripada melakukan aktiviti berat yang dilakukan. Namun, jika korang memanaskan badan dengan betul sebelum melakukan aktiviti sukan, gejala ini dapat dikurangkan selepas bersukan.
5) Membantu Minda Lebih Cerdas
Logiknya, selepas korang memanaskan badan, secara tak langsung dapat membantu korang bersedia melakukan aktiviti sukan dari segi mental. Dengan memanaskan badan, minda atau otak korang akan menjadi lebih rileks dan cerdas. Ini dapat membantu korang memberi tumpuan terhadap aktiviti yang akan korang lakukan.
Leave a Reply