Tanggungjawab sebagai seorang pendidik memang tidak boleh disangkalkan. Mereka bukan sahaja mendidik, malahan menjaga anak kita daripada melakukan perkara yang tidak baik.
Panggilan ‘cikgu’ adalah satu gelaran yang sangat mulia. Namun demikian, cikgu adalah orang terpenting di setiap sekolah. Semua hal berkaitan murid-murid semasa di sekolah adalah di bawah amanah dan perlu digalas oleh guru.
Aku berpengalaman selama 7 tahun mendidik. Sepanjang pengalaman ini, aku paling seronok menjaga dan mendidik murid-murid tahun 1 iaitu berumur 7 tahun. Korang bayangkan, aku seorang sahaja cikgu lelaki yang menjadi guru kelas untuk murid tahun 1. Yang selebihnya guru perempuan.
Kenapa aku suka mengajar murid tahun 1? Jujurnya aku sangat sukakan kanak-kanak. Walaupun ada masanya mereka tidak mendengar arahan serta nakal, namun sebagai ‘bapa’ di sekolah aku sedaya upaya mengawal mereka agar objektif yang aku tetapkan tercapai.
Mengajar murid-murid tahun 1 ni memerlukan tahap kesabaran tinggi. Ada kalanya aku tak boleh tahan sampai bersepah buku-buku di atas meja aku kerjakan. Belum masuk bab murid-murid yang berak atau kencing dalam seluar. Semua ni aku dah hadap dan menjadi pengalaman buat aku.
Bohong kalau aku tak pernah merotan mereka. Niat aku hanya untuk mendidik mereka. Bukan sebab untuk mendera atau menyakiti mereka. Aku akan pujuk semula mereka selepas dimarahi. Kebanyakan mereka mengaku kesilapan yang dilakukan.
Murid-murid ini aku anggap sebagai anak-anak aku sendiri. Maka tidak hairanlah ada antara mereka yang sering berkepit dengan aku bila aku masuk ke dalam kelas. Semuanya inginkan belai manja. Inilah antara faktor membuatkan aku sangat sayangkan anak-anak ini.
Orang di luar sana mungkin melihat kerjaya seorang pendidik ini sangat muda. Ada yang mengatakan tibanya cui sekolah, gurulah yang paling seronok selain daripada murid-murid. Mereka beranggapan bila murid cuti sekolah, maka guru tiada kerja. Serius pada waktu cuti inilah guru-guru akan bertungkus-lumus untuk kemas kini data selain memasukkan markah murid ke dalam sistem yang sangat lembap.
Kerjaya sebagai pendidik sememangnya sangat mencabar. Dengan cabaran mengajar pada era moden sekarang ini, banyak perkara yang aku belajar dan mendewasakan aku. Guru merupakan satu pekerjaan amat penting dan mulia kerana guru adalah model kepada anak didiknya dan masyarakat setempat.
Selamat berjaya anak-anak muridku !!
Leave a Reply